Friday, November 19, 2010

TAUBAT..


Sabda Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy`ari r.a., maksudnya : “Sesungguhnya Allah membuka tangan-Nya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang melakukan dosa pada siang hari dan membuka tangan-Nya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang melakukan dosa pada malam hari. Keadaan ini (peneriamaan taubat) berterusan sehinggalah matahari terbit dari barat (kiamat).” (Riwayat Muslim)
Taubat menurut bahasa adalah kembali. Manakala menurut syarak pula adalah kembali daripada sesuatu yang ditegah oleh Allah s.w.t. kepada sesuatu yang terpuji di sisi Allah s.w.t.
Syeikh Abu al-Qasim Karim Hawazin al-Qusyairi dalam Risalah al-Qusyairi menyatakan bahawa taubat merupakan jalan pendakian utama dan pertama bagi setiap Muslim, apatah lagi bagi mereka yang melalui jalan para sufi.
Imam al-Ghazali dalam karya terakhirnya, Minhaj al-`Abidin telah manyatakan bahawa taubat merupakan satu tindakan hati. Ia bermaksud tindakan yang dilakukan sebagai usaha membersihkan hati daripada segala maksiat yang menyebabkan hati terhijab daripada Allah s.w.t.
Namun menurut al-`Arif Billah Sahl Abdullah al-Tustari pula, taubat adalah meninggalkan sifat bertangguh – tangguh daripada taubat itu sendiri.
Ini bermaksud seorang hamba Allah itu semestinya sentiasa membersihkan hatinya daripada segala maksiat dan kelalaian.
Seorang ulama sufi, Syeikh al-Busyanji ketika di tanya tentang hakikat taubat, beliau menjawab :”Taubat itu adalah apabila kamu mengenangkan dosa – dosamu, kemudian kamu tidak merasakan kemanisan ketika mengingatinya (lantaran penyesalan dan kesedihan terhadap dosa – dosa itu), maka taubatmu adalah benar.”
Inilah takrif taubat para hamba terhadap Rabnya meurut perbahasan dan pandangan para ulama sufi yang telah melalui perjalanan makrifat mereka menuju Allah s.w.t.


Sebab – Sebab yang Mampu Membangkitkan Rasa Ingin Bertaubat.
Dr. Aidh Abdullah al-Qarni dalam kitabnya Jannah al-Ma`wa telah menyatakan bahawa antara sebab yang mampu membangkitkan keinginan seseorang untuk segera bertaubat kepada Allah s.w.t. ialah :
  •  Zikr al-maut. Menerusi ingatan yang mendalam terhadapkematian dan kehidupan bersendirian di alam kubur mampu membangkitkan rasa ingin bertaubat kepada-Nya. Oleh sebab kematian itu akan menyamakan taraf orang yang kaya dengan miskin, yang berkuasa dengan para hamba, maka ia mampu membangkitkan rasa ingin bertaubat dalam hati manusia yang berdosa.
        Benarlah apa yang dinyatakan oleh ulama sufi yang terkenal iaitu Abu Abdul Rahman Hatim al-`Asam tentang bagaimana zikr al-maut mampu menimbulkan keinginan untuk segera bertaubat. Katanya : “Tidak berlalu satu pagi pun kecuali syaitan datang membisikkan kepadaku (dan kepada semua anak Adam agar sentiasa terpaku dengan dunia dan menangguhkan taubat kepada-Nya) dengan pertanyaan : ‘ Apa yang akan engkau makan untuk mengisi perutmu dan apa yang engkau akan pakai untuk perhiasan dirimu dan ke mana arah tujuanmu pada hari ini?’ Lalu aku (Hatim) menjawab : ‘Aku pasti akan makan (menemui) kematian, aku akan pakai kafan serta akan pasti menuju ke kubur (sebagai perhentian terakhir di dunia ini). (Disebabkan keyakinan ini terhadap tiga perkara yang sentiasa dibisikkan oleh syaitan kepada anak Adam) maka ia lari daripadaku!”


  • Mengingati nikmat dan azab yang dijanjikan Allah kepada hamba-Nya.mengingati balasan kekal seperti syurga yang penuh dengan kenikmatan dan neraka yang penuh dengan azab sengsara menerusi janji Allah s.w.t. terhadap hamba – hamba-Nya juga mampu membangkitkan keinginan untuk menyegarkan taubat kepada-Nya. Apabila seseorang hamba lazim mengingati balasan yang akan diterima olehnya pada hari yang lebih ingin bersedia menghadapi janji – janji-Nya yang benar.
               
Inilah satu – satunya jalan bagi pembukaan kepada hidayah dan pimpinan daripada-Nya. Menerusi taubat pasti kehidupan seorang hamba itu akan kembali kepada hakikat kehambaannya yang sebenar. Benarlah apa yang dinyatakan oleh al-`Arif Billah Yahya bin Mu`az al-Razi : “Beruntunglah bagi sesiapa yang meninggalkan dunia sebelum dunia meninggalkannya, membangunkan kuburnya (bertaubat dan bersiap sedia dengan amalan) sebelum dia memasukinya dan redha dengan Rabnya sebelum dia menemui-Nya.”
 Wallahu a`lam.

1 comment:

  1. semoga kita semua tergolong dlm kalangan hambaNya yg beriman..Amin..

    ReplyDelete